Berita Tempatan

Syirik puja boneka

Oleh Hasrulraizan dan Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Okt – Berikutan penemuan boneka hitam bersaiz janin ditusuk 39 bentuk jarum di sebatan tiang lampu isyarat di salah sebuah persimpangan di Mukim Sengkurong pagi ini, Media Permata telah berkesempatan untuk menemu bual seorang penceramah dari Pusat Da’wah Islamiah, Ustaz Haji Anwari Haji Rawee untuk bertanyakan pendapat beliau.
Ketika ditemui di pejabatnya petang ini, beliau memulakan bicara dengan menyatakan bahawa apabila satu-satu pemujaan itu dilakukan, benda (boneka) itu akan hidup dan apa saja benda yang dipuja itu, ia akan dihuni oleh makhluk-makhluk halus tertentu.
Perkara ini adalah perbuatan syirik kepada Allah Taala dan kadang kala benda yang ditusuk dengan jarum itu boleh di jadikan permasalahan sihir dan sebagainya, ujar penceramah yang juga merupakan pengamal perubatan Darusysyifa’ Warrafahah itu.
Apabila dijadikan sihir, ia boleh mengenakan kepada seseorang itu, jika ditusuk kepada tempat-tempat tertentu ia boleh menjadikan orang itu lumpuh dan sebagainya sehinggakan orang yang gagah perkasa pun tiba-tiba tidak boleh berjalan lagi, ujarnya sambil menegaskan itu adalah masalah sihir.
Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam juga pernah disihir oleh seorang Yahudi yang bernama Al Labid bin A’sam sehingga menyebabkan Baginda Rasul Sallallahu Alaihi Wassalam tidak kenal isterinya selama enam bulan, sehinggalah Baginda Sallallahu Alaihi Wassalam didatangi oleh Malaikat Jibril dan Mikail, ceritanya.
Ustaz Haji Anwari seterusnya berkata, “Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda mengarahkan, “Tanam benda itu kerana aku sudah sihat ditakuti akan kena kepada orang lain.”
Sangat mengejutkan dan mengagumkan sekali apabila menurutnya mengikut kajian, jika ada makhluk di dalamnya ia boleh bergerak 186 ribu batu dalam satu saat. Itu ciptaan Allah dan jangan sangka benda itu mati, peringatnya.
Makhluk ini ia boleh jadi sekecil-kecil sehingga ke sebesar-besarnya dan ia tidak mustahil kerana ia memang ada dan sehingga ke zaman ini pun sihir masih lagi berleluasa, ujarnya.
Ustaz Haji Anwari menyarankan supaya umat Islam menjauhi perkara khurafat dan jangan sesekali pergi ke tempat bomoh tidak menentu sambil memperbanyakkan membaca Al-Quran.
Sementara bagi yang sudah terkena itu perlulah memperbanyakkan membaca Al-Quran, berzikir serta menenangkan diri selain mengamalkan membaca ayat-ayat sihir yang terdapat di dalam Al-Quran, nasihatnya.
“Kita boleh juga melakukan dengan membaca ayat kursi untuk menjauhkan dari sihir atau membaca ayat tiga Qul sebelum tidur dan ditiup serta diusap di tempat yang terjangkau oleh tangan kerana bila tidur benda-benda ini cepat dan mudah masuk memandangkan kita seolah-olah mati.
Sihir masih berleluasa di mana pun jua dan jika menjumpai benda-benda seumpama boneka itu beliau menyarankan supaya tidak memegangnya dan mengambilnya kerana benda itu masih hidup dan boleh terkena kepada orang yang memegangnya.
Jika menjumpai benda seumpama ini di kawasan rumah sebolehnya di bakar atau di tanam kerana ditakuti terkena kepada orang lain, sarannya lanjut.
Adalah perlu kita hapuskan benda ini kerana ia boleh memudaratkan dan melibatkan penyelewengan aqidah kerana mereka tidak lagi berpegang kepada Allah tetapi mereka berpegang kepada kekuatan kepada objek tertentu yang boleh melemahkan dan membunuh.

Sumber dipetik dari Media Permata, Brunei. Keluaran Khamis, 6 Oktober 2011

Perbuatan santet?

    Oleh Hasrulraizan dan Salawati Haji Yahya

    Wartawan Media Permata sedikit tergamam melihat boneka hitam di pangkal tiang lampu isyarat sebuah persimpangan di Mukim Sengkurong kelmarin. – Gambar oleh Yuddin HB
    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Okt – Menggemparkan! Apabila Media Permata menjumpai sebuah boneka hitam legam sebesar janin seperti lepas dibakar berbentuk manusia berlumuran darah, ditusuk dengan 39 batang jarum, diletakkan di atas bekas putih segi empat tepat tersadai di kaki tiang lampu isyarat di sebuah persimpangan di Mukim Sengkurong pagi ini.
    Sebaik menerima maklumat daripada orang ramai, Media Permata segera pergi ke tempat dimaksudkan dan terpaksa berlegar seketika mencari tempat patung itu diletakkan.
    Bagaimanapun, seketika kemudian tatkala menoleh ke satu arah di pangkal tiang lampu isyarat di tengah jalan raya, wartawan Media Permata yang berada di situ tergamam melihat terdapat sebuah bekas plastik putih yang di dalamnya terletak sebuah boneka hitam yang agak ‘menyeramkan’ itu.
    Menurut seorang pakar tempatan dalam bidang berkaitan gangguan makhluk halus, Ustaz Dr Haji Mohammad Adi Zaky Haji Matasim, boneka itu merupakan barang sihir jenis “santet” yang bertujuan bagi menyakiti orang yang disasarkan sama ada sekadar bisa-bisa di badan ataupun sakit seperti benar-benar ditusuk benda tajam di 39 tempat sepertimana yang ditusuk kepada boneka itu.
    Sihir jenis ini biasanya diupahkan kepada pengamal ilmu hitam dari Indonesia, katanya sambil menjelaskan tujuan orang yang mengupahkan itu sememangnya benar-benar untuk menyakiti orang yang ditujunya memandangkan jumlah tusukan jarum yang digunakan sangat banyak.
    Ditanya sama ada ilmu sihir jenis santet itu boleh membunuh, beliau berkata, bergantung pada kekuatan sihir berkenaan, kadang-kadang untuk sakit saja dan kadang-kadang untuk membunuh secara perlahan.
    Beliau kemudiannya menjelaskan, melihat kepada tempat boneka itu diletakkan, berkemungkinan besar orang yang ditujui itu menggunakan jalan raya di sana sebagai jalan penghubung hariannya.
    Menurut Ustaz Dr Haji Mohammad Adi Zaky lagi, sejurus orang yang dihajati itu melintasi boneka itu, sihir itu pun mengenai sasarannya.
    Apabila ditanyakan petua bagi membatalkan sihir berkenaan, beliau mengungsikan dua kaedah mujarab dan yang paling mudah antara keduanya adalah dengan membuang boneka itu ke dalam air kumbahan (air kotor bekas basuhan) yang mengalir.
    Kaedah kedua adalah dengan memukul boneka itu menggunakan penyapu lidi sebanyak 7 kali, namun orang yang melakukan pukulan itu perlu berhati-hati dengan membaca ayat pendinding diri terlebih dulu, ditakuti kena tempias sihir itu, katanya.
    Ketika melaksanakan kedua-dua kaedah itu, orang yang melakukannya perlulah mengatakan ayat seperti “Balik lah ke tempat asalmu”, terang Ustaz Dr Haji Mohammad Adi Zaky dalam temu bual bersama Media Permata melalui telefon petang ini.
    Beliau juga mengingatkan kepada mereka yang hendak membuang boneka itu supaya jangan memegang boneka itu secara terus tetapi mestilah berlapik seperti memakai sarung tangan sebagai langkah berjaga-jaga, kerana di dalam boneka itu memang masih ada penunggunya (makhluk halus).
    Seseorang itu boleh tahu bahawa dia telah ketempiasan ilmu sihir dari boneka itu apabila dia tiba-tiba merasa demam, pening-pening ataupun pitam dan pada waktu malam pula bermimpi buruk, ujarnya.
    Oleh yang demikian orang yang ketempiasan ilmu sihir berkenaan hendaklah minum air zam-zam dengan niat dibersihkan daripada segala sihir, sambil membaca “Lahaula Wala Quwwata Illa Billahil ‘Aliyyil Azim” berulang kali, sarannya.
    Orang itu boleh juga menambah kaedah rawatannya dengan membasuh mukanya ataupun mencampurkan air zamzam dengan air mandinya, dengan niat dan bacaan yang sama, tambahnya.
    Apabila ditanyakan apakah beliau pernah berhadapan dengan orang yang terkena ilmu sihir santet di negara ini, beliau menyatakan beliau sering dipanggil untuk mengubati orang yang terkena santet, tetapi prinsip beliau adalah mengajar dan memberikan panduan kepada mangsa itu untuk mengubati dirinya sendiri.

    Sumber di petik dari Media Permata, Brunei.Keluaran khamis, 6 Oktober r 2011.

    Boneka ‘santet’ selesai diuruskan
    Oleh Hasrulraizan dan Salawati Haji Yahya

    Boneka “Santet” ini telah pun selesai diuruskan oleh Unit Perbomohan dan Khurafat, Bahagian Kawalan Akidah sebelum pukul 5.00 petang kelmarin dengan menyiramnya menggunakan Air Yasin, dicabut semua jarum dan ditanam.
    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Okt – Boneka “Santet” yang ditemuai Media Permata kelmarin, 5 Oktober, telah pun selesai diuruskan oleh Unit Perbomohan dan Khurafat, Bahagian Kawalan Akidah sebelum pukul 5.00 petang hari ini.
    Bahagian Kawalan Akidah ketika dihubungi Media Permata mengesahkan telah menerima boneka berkenaan dari Balai Polis Sengkurong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDRB) sekitar pukul 11 pagi hari ini bagi urusan selanjutnya.
    Setelah dilihat penuh teliti, Bahagian Kawalan Akidah mendapati boneka itu seperti buatan sendiri daripada tanah hitam/liat, yang berkemungkinan besar dibakar terlebih dahulu sebelum dicucuk dengan 39 batang jarum, namun mereka tidak dapat mengesahkan sama ada kesan warna merah di atas bekas polistirena itu adalah darah.
    Penulis buku Al-Quran Penawar Histeria, Ustaz Dr Haji Mohammad Adi Zaky Haji Matasim ketika dihubungi Media Permata menjelaskan boneka “santet” biasanya diperbuat daripada lilin/tanah kubur/bangkai binatang atau hanya kain/kafan, iaitu terpulang kepada kekuatan sihirnya.
    Perawat/pengamal perubatan Islam/alternatif yang sangat terkenal di Negara Brunei Darussalam itu turut menyatakan bahawa boneka “santet” biasanya dilumuri dengan darah dari binatang warna hitam seperti ayam, anjing dan kambing.
    Bahagian Kawalan Akidah seterusnya menyatakan, atas nasihat daripada Darusysyifa’ Warrafahah, boneka itu telah ‘dibersihkan’ dengan menyiramnya menggunakan Air Yasin untuk mematikan ‘penunggu’ di dalamnya, dicabut semua jarum dan kemudiannya ditanam hampir pukul 5 petang ini.
    Kaedah menanam barang sihir pernah dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam seperti mana dalam sebuah kisah yang diceritakan oleh Ustaz Haji Anwari kepada Media Permata kelmarin.
    Menurut Bahagian Kawalan Akidah, memandangkan boneka itu nampak menunjukkan unsur-unsur amalan/pemujaan sihir, mereka mengambil langkah berhati-hati dalam menanganinya dan oleh sebab itulah mereka meminta khidmat nasihat dari Darusysyifa’ Warrafahah mengenai kaedah tepat dan bersesuaian untuk mengendalikannya.
    Bahagian Kawalan Akidah mengakui penemuan boneka “santet” itu bukan sesuatu yang baru kerana mereka memang sudah pernah berdepan dengan masalah serupa sebelum ini.
    Dengan matlamat untuk memberi pemahaman dan kesedaran kepada orang ramai berkaitan ilmu hitam/sihir, Bahagian Kawalan Akidah memang sering memberikan taklimat dan ceramah secara konsisten terutama kepada para pelajar sekolah, melalui lawatan pelajar ke pejabat mereka, yang ada mempamerkan barang-barang sihir yang sudah dibersihkan.
    Berhubung dengan kes penemuan boneka “santet” di sebatang tiang lampu isyarat di salah sebuah persimpangan di Mukim Sengkurong itu, Bahagian Kawalan Akidah meminta kerjasama daripada orang ramai yang mempunyai apa jua maklumat berkaitan boneka “santet” itu supaya tampil memaklumkan kepada pihak mereka.
    Menurut Bahagian Kawalan Akidah, mereka maklum mengenai kewujudan boneka “santet” berkenaan setelah menerima panggilan dari pihak polis pada kira-kira pukul 4.00 petang kelmarin, 5 Oktober.
    Sementara itu Balai Polis Sengkurong ketika dihubungi Media Permata petang tadi telah mengesahkan menerima panggilan daripada orang ramai pada pukul 2.30 petang kelmarin, Rabu, 5 Oktober berkaitan terdapatnya objek ganjil atau boneka hitam yang diletakkan di salah satu tiang lampu isyarat di kawasan Sengkurong.
    Atas dasar bagi menjaga keselamatan awam, maka pihak polis telah pun bergegas ke tempat kejadian dan membawa boneka itu ke Balai Polis Sengkurong sebelum diserahkan ke Bahagian Kawalan Akidah oleh pihak Polis hari ini untuk urusan selanjutnya.

    Sumber di petik dari Media Permata, Brunei. Keluaran Jumaat, 7Oktober , 2011.

    Jauhi Khurafat
    Sunday, 09 October 2011 07:36
    Hasrulraizan

    Bandar Seri Begawan – “Jauhi perkara karut atau khurafat yang bertentangan dengan ajaran agama Islam,” peringat Khatib kepada bakal jemaah haji negara ini dalam Khutbah Jumaat.
    Perbuatan sedemikian bukan saja boleh menjejaskan ibadat haji malahan juga boleh menjejaskan akidah seseorang, tegas Khatib.
    Khatib turut mengingatkan bakal jemaah haji supaya jangan sesekali mengabaikan ibadat wajib seperti menunaikan solat fardu lima waktu pada waktunya walaupun sedang sibuk dan penat melakukan ibadat dan manasik haji.
    Menurut Khatib perkara di atas sangat penting jika bakal jemaah haji mahu mendapat haji mabrur, selain melaksanakan rukun dan wajib serta sunat haji dengan sempurna. Di samping itu mereka juga hendaklah memperbanyakkan amalan-amalan sunat seperti mengerjakan solat sunat Rawatib, membaca Al-Quran, memperbanyakkan tawaf sunat, berdoa, berzikir, berselawat, beriktikaf dan bersedekah, tambah Khatib.
    “Apa yang penting mereka hendaklah juga memelihara diri dari melakukan sebarang perbuatan berdosa dengan memelihara lidah, menjaga pandangan mata, menjaga kelakuan dan tingkah laku.”
    Khatib juga mengingatkan bakal jemaah haji supaya dalam menghadap apa juga kesulitan dan rintangan ketika di Tanah Suci nanti menghadapinya dengan tabah, sabar dan reda serta memperbanyakkan doa dan zikir supaya hati menjadi tenang dan tenteram.
    Peliharalah diri dari bersifat marah, mengeluh atau merungut dalam menghadapi apa jua kesukaran atau ketidakselesaan ketika berada di Tanah Suci nanti, nasihat Khatib lagi.
    “Semua itu hendaklah diterima sebagai ujian dan dugaan yang perlu dihadapi dalam usaha untuk mendapatkan haji yang mabrur sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah Taala.”
    Ketika menyentuh perbelanjaan untuk mengerjakan ibadah haji, Khatib mengakui ia bukannya sedikit dan tidak semua orang mampu menyediakannya dengan sekali gus.
    Oleh itu, Khatib menasihatkan umat Islam yang berkeinginan untuk menunaikan haji supaya menyimpan wang sedikit demi sedikit, bak kata pepatah “sikit-sikit lama-lama jadi bukit.”
    Lebih-lebih lagi pada masa ini terdapat institusi kewangan yang menawarkan kemudahan untuk menyimpan wang khas bagi tujuan menunaikan haji seperti Akaun Tekad Haji dan Akaun Tabung Haji, tambah Khatib.
    “Insya Allah dengan niat yang ikhlas dan azam yang bersungguh-sungguh, maka pada suatu waktu nanti akan terkumpullah juga perbelanjaan yang diperlukan dan mencukupi bagi menunaikan Rukun Islam Kelima berkenaan.”
    Khatib juga memberi peringatan kepada mereka yang telah mencukupi syarat-syarat untuk mengerjakan haji dan mempunyai kemampuan, adalah sunat bagi mereka untuk tidak melambatkan naik haji sebelum datang perkara yang akan menghalanginya kerana Islam sangat menggalakkan umatnya bersegera dalam membuat sebarang amal kebajikan.
    Renungkan Hadis Qudsi riwayat Ibnu Hibban yang kira-kira bermaksud, “Dari Abu Sa’id Al-Khudry Radiallahu Anh bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda di mana Allah Taala berfirman: Sesungguhnya seorang hamba Ku yang telah Aku kurniakan kesihatan pada tubuh badannya, telah Aku perluaskan kehidupan dengan melapangkan rezekinya, di mana jika lima tahun telah melewatinya sedangkan dia tidak datang kepada Ku bagi mengerjakan haji, maka terjauhlah dia dari kebaikan.”
    –Courtesy of Media Permata
    http://brudirect.com/index.php/Malay-News/jauhi-khurafat.html

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: