Lain-Lain Berita

Feb 2, 2011

Amalan khurafat jerat diri sendiri

KUALA LUMPUR: Individu yang terbabit dengan pemujaan berunsur khurafat disarankan bertaubat segera kerana amalan itu bukan saja menjerumuskan diri kepada perbuatan syirik, malah boleh memudaratkan diri sendiri.

Penceramah agama, Datuk Daud Che Ngah berkata, musibah kepada orang yang mengamalkan sebarang bentuk pemujaan kepada selain daripada Allah tidak mustahil akan berlaku terutama pada penghujung usia.
Jelas dalam agama perbuatan seperti jampi mantera dan pemujaan makhluk halus termasuk pelaris adalah syirik walaupun bertujuan mendapat kebaikan seperti menambah rezeki.

Kepada sesiapa yang masih mengamalkannya segeralah bertaubat kerana dikhuatiri sekiranya berterusan bergelumang dengannya kelak akan mati dalam keadaan kufur, malah memakan diri sendiri.
Sudah ramai terkena musibah kerana amalan pemujaan seperti susah menghembuskan nafas angkara kekangan jin di dalam badan, katanya diminta mengulas mengenai amalan pemujaan keris oleh seorang lelaki di sebuah kampung di Alor Gajah yang disiarkan pada muka depan Harian Metro, semalam. Amalan pemujaan lelaki berusia awal 30-an itu didedahkan isterinya, Humairah, 25, yang mengesan perbuatan pelik selepas curiga dengan sikap suami yang jauh berubah berbanding sebelumnya. Lelaki itu melakukan pemujaan dengan meratib mantera menggunakan bahasa yang tidak difahami dalam keadaan duduk di atas sejadah sambil memegang keris kecil di sebuah bilik di rumahnya. Amalan pelik itu kononnya untuk menambah rezeki keluarga mereka selepas diberhentikan kerja setahun lalu. Daud berkata, Islam menggalakkan umatnya bekerja dan berusaha untuk mendapatkan rezeki, bukannya dengan cara angan-angan dan amalan magis yang tidak menentu sehingga membabitkan unsur khurafat.
Sebenarnya dalam Islam tiada magis dan jalan pintas untuk menjadi orang berjaya dan senang, malah mereka yang mahu rezeki lebih, kenalah berusaha, katanya.

Sumber : Harian Metro, Malaysia.

Jaipp pasang notis elak kegiatan khurafat

KEPALA BATAS: Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp) memasang notis pada pokok petai menangis di Kampung Lembah Raja, Pinang Tunggal, dekat sini, bagi mengelak perkara bercanggah dengan ajaran Islam.

Notis berkenaan berkaitan larangan memuja sebarang bentuk kejadian alam atau yang menghampiri perkara khurafat mengikut Seksyen 3 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 iaitu pemujaan salah.
Mengikut seksyen berkenaan, mereka yang didapati melanggar larangan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-dua sekali.

Tindakan memasang notis diambil berikutan pokok petai berusia 28 tahun itu mula mencuri tumpuan sejak tersebar berita mengenai kejadian pelik itu lima hari lalu.
Harian Metro Isnin lalu melaporkan penduduk Kampung Lembah Raja gempar apabila sebatang pokok petai menangis hingga air turun seperti hujan sejak beberapa hari.
Pokok setinggi kira-kira 10 meter dan berusia lebih 35 tahun itu mengeluarkan air melalui dahannya, malah lebih banyak ketika tengah malam.

Berikutan itu, penduduk kampung berpusu-pusu melihat pokok petai yang menangis, malah sanggup menunggu hingga jam 4 pagi.
Penduduk, Ishak Jusoh, 63, berkata orang ramai termasuk dari luar Pulau Pinang berpusu-pusu ke kampungnya untuk melihat pokok petai itu.

Ada yang datang dari Perak, Kuala Lumpur dan Johor selepas membaca berita pokok petai aneh dalam akhbar.
Bukan Melayu saja, malah orang Cina dan India tidak melepaskan peluang untuk melihat lebih dekat.
Berikutan itu, Jaipp memasang notis amaran pagi kelmarin, bagi memastikan orang ramai tidak membuat sesuatu yang bercanggah dengan Islam pada pokok berkenaan, katanya ketika ditemui, semalam.
Ishak berkata, kakitangan Jaipp yang meneropong ke arah pokok nampak jelas air keluar melalui dahan pokok petai.
Saya tidak meminum air berkenaan, tetapi ada juga penduduk yang mencuba kerana beranggapan ia mempunyai nilai perubatan, katanya.

Sumber : Harian Metro, Malaysia.

Jemaah khurafat tarik emas

KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga Indonesia berusia 40-an dikatakan ligat memancing pemuda tampan berusia 20-an untuk dijadikan pengikutnya bagi dilatih menjadi ejen perbuatan khurafat menarik emas dari alam ghaib.

Wanita berkenaan yang dipanggil Kak Emi atau Ibu oleh pengikutnya dikatakan menjalankan kegiatan penipuan itu sejak empat tahun lalu di sekitar Lembah Klang dan setakat ini, jumlah pemuda tampan yang menjadi pengikutnya mencecah 20 orang.

Mendedahkan kegiatan wanita terbabit, pemuda mahu dikenali sebagai Ramli berkata, dia menjadi pengikut jemaah tarik emas itu selama lebih enam bulan sebelum melarikan diri.

Ramli, 24, berkata, selepas termasuk dalam perangkap Ibu, amat sukar melepaskan diri kerana dia bukan saja mengumpan pengikutnya dengan wang ringgit serta seks, tapi turut bersikap agresif kepada sesiapa yang cuba berpaling tadah.

Sesiapa bersetuju menjadi pengikutnya, disyaratkan mentaati dan menyayanginya dengan cara bersalam dan mencium kedua-dua pipinya setiap kali berjumpa.

Lebih menjelekkan, selepas menjadi pengikut, kami dikehendaki tinggal di rumah ibu dan setiap malam kami tidur beramai-ramai di ruang tamu bersama-sama dengannya, katanya ketika ditemui Harian Metro.

Menceritakan pengalamannya pada beberapa malam pertama tidur di rumah Ibu, Ramli berkata, dia terperanjat apabila melihat bomoh wanita itu dengan selamba memeluk rakannya secara bergilir-gilir sepanjang malam.

Saya lihat dia peluk rakan di sebelah saya ketika saya terjaga di tengah malam untuk membuang air. Esoknya, saya bertanya kepada Ibu mengenai perbuatannya itu.

Ibu menjelaskan dia perlu tidur bersama-sama kami semua kerana bilik tidurnya digunakan Tuan Puteri untuk beradu. Kata ibu, Tuan Puteri itulah yang membantu usaha kami untuk menarik emas, katanya.

Menurut Ramli, dia mengesyaki rakannya yang sudah lama menjadi pengikut jemaah khurafat itu turut melakukan hubungan seks dengan wanita berkenaan.

Apabila ada antara kami yang minta izin untuk pulang ke rumah, Ibu akan jatuh sakit secara tiba-tiba dan memberi pelbagai alasan termasuk dia sakit dada, pening kepala dan demam, sambil menagih simpati, katanya.

Menceritakan tugas sebagai ejen menarik emas, Ramli berkata, setiap pemuda yang tinggal bersama dan menjadi pengikut Ibu dikehendaki mencari pelanggan yang berminat dengan khidmat mereka.

Menurutnya, setiap pelanggan perlu membayar RM1,350 sebagai kos perbelanjaan membeli keperluan pemujaan termasuk satu kotak kayu berukir, sebotol minyak candu hitam, dua botol air mawar dan satu bilik khas di rumah masing-masing.

Kotak kayu itu akan disiram dengan minyak candu hitam dan dua botol air mawar akan disimpan di dalam kotak sebelum diletakkan dalam bilik khas yang dihiasi dengan taburan bunga melur dan bunga mawar.

Kotak kayu perlu itu disimpan dalam bilik khas selama sekurang-kurangnya 40 hari sebelum boleh dibuka. Sepanjang tempoh itulah, Tuan Puteri kononnya turun menarik emas, katanya.

Ramli berkata, dia sempat menyediakan seorang pelanggan untuk Ibu menjalankan khidmat menarik emas, namun selepas hampir dua bulan, barulah dia menyedari semua yang dijanjikan wanita itu hanya pembohongan belaka.

Selepas kira-kira 40 hari, Ibu masuk ke bilik seorang diri mengambil kotak kayu yang disimpan di situ dan dia keluar semula dengan memegang enam uncang pelbagai jenis barang, katanya.

Sumber : Harian Metro, Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: